Alamat blog

Pesakit TB dan Langkah Kerajaan

6/12/2008 08:28:00 PG |

Sila baca cerita ini kerana soalan akan diberikan selepas habisnya cerita.

Ketika saya terpandang dia , jalannya sudah pun longlai dan tubuh kurus itu kelihatan terhoyong-hayang.Tangannya mencengkam kuat dadanya.

Dalam petang samar-samar menghampiri Mahgrib, jalan diselekoh Stesen Komuter Shah Alam cukup sibuk dengan kenderaan yang mengambil dan menghantar penumpang.Jadi sewaktu bercerita rancak tentang kesan kenaikan harga minyak dengan suami yang memandu di sebelah ,tiba-tiba saya automatik menjerit kepada suami bila terpandangkan pakcik tersebut.Hampir-hampir sahaja kereta kami terlanggar dia yang berjalan lemah di tengah jalan.

Suami saya segera berhentikan kereta di tepi jalan(dan..hampir membuat sekatan kepada lalulintas lain).Saya nampak dia bertanyakan pakcik itu.Dan saya nampak gerak gerinya menawarkan kereta kami untuk ditumpangi.Dan jelas pakcik itu menolak tawaran suami saya.Saya lihat digenggam erat tangan suami saya sebelum dilepaskan.Lalu dia terus berjalan.Masih dalam keadaan mengheret kaki dengan lemah.Sekali sekala saya lihat dia berhenti.Memungut kembali tenaga.Menadah tangan memohon kepada Allah SWT mungkin agar diberikan kekuatan.

Suami saya yang kembali dengan hampa .Dia kata pakcik itu ingin ke PKNS.Mencari saudara terdekat yang bekerja sebagai Jaga (Security).Sekalipun seorang anak muda seperti saya ini tidak akan mampu berjalan kaki dari stesen komuter shah alam ke PKNS.Memang jauh.Apatah Pakcik ini yang kelihatan begitu tidak bermaya.Tetapi malangnya pakcik ini bertegas untuk tidak menerima pelawaan suami untuk menumpang kereta kami ataupun menerima wang suami saya untuk tambang teksi atau bas.

Saya ini pula yang bercampur risau dan sebak melihat dia melintas jalan.Kenderaan yang lalulintas pula kelihatan memperlahankan kelajuan memberikan laluan untuk dia melintas.Jangan fikir dia penagih dadah pembaca sekelian.Kalaulah saya dapat ceritakan wajah tersebut dengan lebih jelas lagi.Hanya yang mampu saya gambarkan wajah seorang tawakal kepada Allah dan tegas.Wajah yang gelap dipanah matahari tapi cukup berseri bagi saya.Serban dia kemas tersisip.Baju dia lusuh tapi bersih.Bahu dia memikul sebuah beg yang berat.

Apabila lihat dia memanjat flyover, suami saya segera memusingkan kereta menuju ke arah pakcik itu.Seorang anak muda dengan Gen-2 sudah sedia berhenti untuk membantu.Pun pakcik itu berdegil untuk meneruskan perjalanan dia tanpa bantuan kami.Dua tiga orang anak muda lagi termasuk suami saya memberhentikan kenderaan masing-masing untuk membantu dan memujuk.Pun pakcik itu berdegil.Kenapa ini Ya Allah..saya terasa geram pun ada,sedih pun ada dan selebihnya emosi seorang anak perempuan.

Airmata saya mulalah laju tanpa disuruh-suruh.Saya lebih tersentuh melihatkan kecekalan dan tawakal pakcik itu untuk meneruskan perjalanan.Apabila dia tidak berdaya, saya lihat dia berhenti dan menadah tangan.Berdoa semahu-mahunya.Seolah-olah segala kudrat tenaganya difokuskan kepada Allah SWT.Dan seolah-olah selepas itu dia mendapat sedikit tenaga dan meneruskan perjalanan.

Saya tidak tahu kenapa tetapi disaat itu saya terasa ingin sahaja sujud ditanah memohon ampun kepada Allah SWT.Pergantungan saya selama ini tidak pernah saya fokuskan betul-betul kepada Allah SWT.Saya ke hulu-ke lilir mencari tempat kerja baru.Lebihan lagi dengan kenaikan harga minyak kini kerana saya bimbang gaji saya yang tidak dinaikkan.Saya bergantung kepada gaji saya sepenuhnya!

Saya lupa bahawa yang mengerakkan seluruh jasad saya ini adalah Allah SWT..........bukan gaji saya.Allahu.

Dan pakcik itu menyembuhkan saya dari penyakit saya yang sombong kepada Allah SWT.Saya menangis semahu-mahunya di dalam kereta sambil dilihat oleh anak saya.Suami saya kelihatan serba salah.Mungkin dia ingat saya bersedih kerana dia tidak mampu tolong pakcik itu.

Allah SWT Maha Kuasa.Dalam saya menangis itu, pakcik itu bersetuju pula menaiki kereta suami saya untuk di hantar ke PKNS.Sebelum dia menaiki kereta kami, suami saya sempat menyuruh saya membuka tingkap kerana pakcik ini mempunyai penyakit TB.Dia diwadkan tetapi dia keluar kerana tidak mampu untuk membayar bil hospital kerajaan walaupun murah.Dia hanya penoreh getah dari Johor.

Saya tidak kisah dan saya tidak takut.Saya kata pada suami.Kita tawakal pada Allah SWT.

Kami hantar dia hingga ke PKNS.

Pakcik yang pesakit TB itulah yang telah menyembuhkan saya.Tetapi saya tidak sempat pula tanya nama dia.

Soalan

1. Langkah Kerajaan yang mana satukah dapat meringankan beban Pakcik itu?

a). Menurunkan Harga minyak supaya subsidi diberikan berdasarkan kepengunaan minyak ?
b). Pengstrukturan ssemula subsidi yang memberikan kelebihan kepada pemilik kenderaan.
c). Menunaikan Tuntutan Subsidi Makanan Rakyat.




Berpusing!!!!!!

7 komen

  1. Admin // 12 Jun 2008 pada 11:06 PG  

    Seperti kata encik Sebol- golongan miskin,tiada pekerjaan atau sekadar penoreh getah seperti pakcik itu mana ada persatuan untuk memperjuangkan hak mereka.

    Jadi kalau diberi pilihan saya tentulah memilih jawapan c

    Tetapi saya juga berharap ada jawapan untuk d yang berbunyi subsidi tetap diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin untuk mendapatkan rawatan terbaik di mana-mana hospital termasuk swasta tanpa mengira penyakit mereka sekadar demam sahaja atau penyakit kronik.Golongan penoreh seperti pakcik itu boleh keluar masuk hospital swasta yang elit untuk mendapatkan rawatan yang terbaik atas sistem subsidi tersebut.Pakcik itu hanya perlu hulurkan kad subsidi macam kad kredit.Kaunter hospital just slash the card dan pakcik terus diberi rawatan segera.

    Boleh?

  2. Tanpa Nama // 13 Jun 2008 pada 9:05 PG  

    Sebol, kadang-kadang kita terlalu mengharapkan kepada kerajaan untuk melaksanakan segala idea atau cadang yang kita suarakan. Tetapi adakah kerajaan akan mendengar semua rintihan kita dan melaksanakannya.

    Rasanya kita sendiri hendaklah membuka langkah dahulu. Harapkan mereka (kerajaan), ibarat menanti bulan jatuh ke riba. Semalam, sewaktu saya menghantar bungkusan barang ke Indonesia, saya disapa oleh petugas http://www.makna.org.my>Makna (Majlis Kanser Nasional) di hadapan pejabat pos. Setelah mendengar penerangan (kutipan derma)ringkas oleh mereka saya bersetuju untuk menderma RM38.00 sebulan untuk tabung MAKNA melalui potong gaji.

    Ayuh sahabat semua, mari kita mulakan langkah dahulu. Jangan harapkan MEREKA.

  3. Hasbullah Pit // 13 Jun 2008 pada 10:56 PG  

    rizal:

    "Cadangan" atau "harapan" kini dah jadi "tuntutan"

    Berapa banyaklah individu boleh bantu, kalau individu pun dihimpit kewangannya juga.

  4. Tanpa Nama // 13 Jun 2008 pada 4:52 PTG  

    Salam.

    Kerajaan...
    Semakin tinggi harapan, semakin banyak kesedihan.

    Sebol...
    Mungkin individu tak banyak membantu, tapi yang tak banyak itulah yang menjadi penentu. Walaupun bukan penentu kepada nasib negara kita, tapi penentu kepada nasib individu yang dibantu. Mulalah dari situ, moga dengan itu Allah akan membuka jalan yang lebih luas untuk kita mengubah apa yang kita mahu.

    Lil_mom dan Rizal... tahniah kepada anda. Semoga keikhlasan hati kalian menjadi contoh dan ikutan.

  5. Unknown // 13 Jun 2008 pada 9:09 PTG  

    Tuan Hasbullah Pit,

    Sayangnya anda hanya memberikan 3 pilihan yang terhad. Teringat saya pada peperiksaan SPM yang kadangkala soalan objektifnya yang ke-4 atau D=Semua jawapan di atas.

    Namun jika tuan ingin menambahkan pilihan D saya mungkin akan memikirkan semula sekiranya D itu ialah = Bukan semua jawapan di atas.

    Jawapan A saya lihat sukar dilaksanakan kerana pelaksanaan dan penyampaiannya kurang sistematik yang membolehkan berlakunya ketirisan dan manipulasi yang melencong dari kumpulan sasaran yang berpendapatan rendah.

    Jawapan B tiada kaitan kerana ianya tidak membantu pakcik tersebut!

    Jawapan C juga tidak releven kerana pakcik tersebut tidak diceritakan sebagai tidak makan. Beliau hanya berjalan kaki untuk sampai ke destinasi.

    Jika ada 1 jawapan yang sesuai mungkin ialah kerajaan wajib menstruktur semula semua dasar berkaitan warga tua atau lebih dihormati sebagai Warga Emas. Sesuai dengan ciri-ciri keemasan mereka sepatutnya ditawarkan kemudahan percuma untuk perubatan, pengangkutan, perlindungan dan sebagainya.

  6. Hasbullah Pit // 13 Jun 2008 pada 11:43 PTG  

    Faizal Riduan:

    memanglah kesemua a,b,c itu bukan disasarkan untuk menyelesaikan maslaah pakcik tu, tetapi persoalannya, langkah yang mana agaknya yang "meringankan" beban pakcik itu.

  7. Dr Azwan // 20 Jun 2008 pada 9:21 PG  

    Maaf saudara Sebol, saya tak nak komen pasal jawapan ABC. Komen saya terkeluar daripada isi perbincangan ini.

    Cuma dari segi perubatan, pakcik itu tidak boleh keluar hospital kerana TB itu penyakit berjangkit. Kecuali, dia boleh hadir ke hospital setiap hari untuk makan ubat anti TB di hadapan pegawai perubatan (yang memerlukan tambang/ kos minyak).

    Jika pakcik itu keluar hospital ketika TB masih aktif, atau tiada alternatif oleh pihak hospital seperti memastikan ada petugas hospital yang patut membuat follow up ke rumah contohnya, itu adalah kesalahan dari pihak hospital atau klinik sendiri.

    Maaf mengganggu keceriaan tajuk ini. Salam.