Alamat blog

Apa yang saya tulis ini memerlukan sedikit pemahaman teknologi maklumat dan pelaburan.

Selama ini saya meminati penulisan Ketua Perusuh yang sering membongkarkan isu berkaitan dengan pelaburan.

IRIS adalah satu syarikat yang membekalkan "MyKad" kepada Kerajaan Malaysia. Ianya seolah-olah sudah "sign mati" dengan kerajaan Malaysia supaya terus menggunakan teknologi dari IRIS untuk MyKad.

Saya sendiri lewat menukar ke MyKad atas sebab teknikal.

MyKad dahulunya 32 bit, kemudian 64 bit.
"Aplikasi" di dalamnya pun bertambah sejak dari ia mula dikeluarkan.
Daripada tiada RFID , kini sudah ada.

Siapa yang buat MyKad awal macam-macam tiada.

Kalau boleh semua benda hendak dimasukkan kedalam MyKad.

Ini semua akibat daripada ideologi Tun Dr Mahathir yang beria-ria sangat hendak meyumbat semua benda dalam satu kad.

Nasib baik dia sudah tidak menjadi Perdana Menteri, kalau tidak I-Cash UMNO pun hendak dimasukkan ke MyKad.

Nasib baik ketika itu belum ada kad microSD atau Stick Duo M2, kalau tidak, mesti Tun Dr. Mahathir nak MyKad kita semua ni 2GB. Boleh simpan gambar kelas semasa darjah 3 daulu di MyKad.

Ideologi Tun Dr. Mahathir bercanggah dengan ideologi saya, iaitu saya lebih suka Kad Pengenalan ringkas,ada barkod akan tetapi dengan nombornya sahaja, boleh kueri 1001 maklumat di pangkalan data kerajaan.

Berbalik kepada persoalan kedaulatan negara.

Apabila IRIS memonopoli MyKad, 1001 perkara boleh terjadi.
Secara teknikal, IRIS boleh keluarkan MyKad tanpa pengetahuan JPN.

Saudara Ketua Perusuh mempersoalkan mengapa siatan Suruhanjaya Sekuriti lambat bertindak ke atas salah laku IRIS.

Apakah yang menjadi persoalan dibenak kita bila mendapat tahu bahawa Suruhanjaya Sekuriti telah “memfailkan saman terhadap lapan syarikat asing dan dua syarikat tempatan yang didakwa melakukan kesalahan manipulasi dan penipuan dalam pasaran saham Iris Corporation Bhd.”? Tentunya ramai yang terkejut bila mendapat tahu kejadian ini yang dikisahkan ini berlaku pada tahun 2005 dan 2006. Persoalannya sekarang ialah kenapa Suruhanjaya Sekuriti (SC) begitu lambat bertindak sedangkan beberapa maklumat telahpun disampaikan kepada mereka oleh beberapa pihak yang perihati pada pertengahan tahun 2005 lagi. Adakah SC dihalang oleh pihak-pihak tertentu? Adakah pimpinan peringkat tertinggi dalam Kerajaan Malaysia yang menjadi penghalang kepada siasatan SC?

Apabila melibatkan MyKad, ia juga melibatkan soal kerakyatan, adakah kerakyatan murahan dijual kepada warga asing?

MyKad juga terlibat dengan pilihanraya, dimana ia menjadi penentu samada seseorang itu boleh mengundi atau tidak.

Jika IRIS tidak dipantau dengan baik, mungkin ada individu yang mengawalnya.

Amat malang sekali jika individu yang mengawalnya itu mudah dibeli oleh wang ringgit.

Teruskan membaca keseluruah penulisan Ketua Perusuh




Berpusing!!!!!!

10 komen

  1. rastom // 12 April 2008 pada 12:01 PTG  

    Sang Adipati Sebol Mangkubuwono!

    Memang Tun Mahatma Hathir sudah banyak jual kuasa dan komponen kerajaan semasa berlangsungnya demam pengswastaan. Yang sekarang menghantui dia ialah Toyol dan Langsuir kehakiman yang pernah diberi jolokan the best judiciary money can buy.

  2. frossonice // 16 April 2008 pada 10:32 PTG  

    Saudara,

    Perlu juga saudara ketahui yang IRIS cuma membekal kad kosong (tidak ada data) kepada JPN. JPN sendiri akan mencetak data pada permukaan dan memasukkan data ke dalam cip di pejabat JPN sendiri (Putrajaya).

    Untuk makluman juga, data dalam cip adalah data asas seperti maklumat peribadi (nama, alamat, jantina, lesen, pasport dan mungkin KPI). Rekod seperti rekod jenayah, kesalahan lalu lintas, rekod bank, rekod kesihatan adalah diperolehi melalui capaian dalam talian (online) secara terus ke hos yang di miliki oleh agensi berkaitan.

    Ada juga fungsi Voter Locality (tempat mengundi pemegang MyKad) namun sehingga kini masih belum dilaksanakan.

    Sehingga kini masih belum dikesan pemalsuan kepada cip MyKad. Sekiranya ada, sila kemukakan bukti di Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan JPN. Pemalsuan data di permukaan MyKad berlaku dan selalunya dikesan daripada kad yang hilang (lebih 2 juta MyKad hilang sehingga 2008!). Salah siapa? Itu tandanya orang Malaysia sendiri tidak cermat dengan MyKad mengakibatkan orang asing senang mengambil kesempatan keatasnya. Kemudian orang Malaysia juga menuduh JPN dan pihak-pihak tertentu memberi kerakyatan murahan kepada warga asing kerana warga asing ada 'MyKad'.

    Saya seorang kerani biasa di JPN dan saya melihat banyak kelebihan yang ada pada MyKad dan potensinya adalah besar sekiranya betul-betul digunakan dan dimajukan. Malah negara-negara maju sendiri sering datang dan membuat kajian serta memohon bantuan teknikal untuk mereka menghasilkan kad pengenalan biometrik untuk penduduk mereka sendiri.

    Kalau saudara masih selesa dengan teknologi lama, maka saudara masih boleh gunakan kad pengenalan lama kerana ianya tidak pernah terbatal 'kuasa'nya sebagai kad pengenalan diri rakyat Malaysia. Cuma saudara mungkin akan alami masalah bila berurusan dengan bank, insurans dan lain-lain agensi.

    Terima Kasih.

  3. Hasbullah Pit // 16 April 2008 pada 11:09 PTG  

    frossonice

    Terima kasih kerana memberi ulasan panjang lebar.

    1. Adakah Voter Locality tidak dapat dilakukan kerana masih lagi ramai menggunakan mykad versi awal yang tiada aplikasi itu?.

    2. Masih IRIS adalah satu-satunya pembekal kepada MyKad dan tiada alternatif lain, dimana diada keterbukaan dalam memilih vendor.
    Adakah JPN mempunyai kuasa untuk terajang IRIS kalau mereka ada salah laku?

    3. Apa erti kalau boleh guna kad pengenalan lama tetapi ianya seperti membuatkan seseorang warga negara itu seperti warganegara kelas kedua, tidak boleh itu ini.

    4. Biometric sepatutnya boleh membaca dari jari.

    5. Apa erti mykad sebaagi authentikasi kalau, kalau tidak diverifikasikan dengan jari pemegang mykad?

    sudi-sudikan menjawap.

  4. famil // 17 April 2008 pada 10:13 PTG  

    tak payah tunggu IRIS pun dah berjuta2 myKad jatuh ke tangan Indon, Paki dan Pinoy. Angkara siapakah itu?

  5. frossonice // 18 April 2008 pada 1:03 PG  

    Saudara,

    Berkaitan Voter Locality. Aplikasi ini sebenarnya adalah aplikasi sampingan, bukan sebagai aplikasi utama. Masalah yang dihadapi oleh JPN dan sebagaimana semua rakyat Malaysia adalah keengganan pihak SPR menggunakan data kependudukan negara yang tersimpan di dalam JPN. Di sini saudara perlu tahu satu perkara penting, JPN adalah satu-satunya institusi yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpul, merekod dan menyimpan semua data kependudukan negara. Rekod itu pula hanya boleh disimpan oleh JPN sahaja. Maka apabila SPR mahu rekod yang sama disimpan di tempat mereka, JPN menolak atas alasan keselamatan. Saudara boleh bayangkan jika ada dua databes mengenai kependudukan negara berjalan serentak tetapi dari dua sumber yang berbeza. Kemungkinan berlaku kesilapan adalah amat-amat besar. Maka voters locality dan apa saja bentuk perkongsian maklumat kependudukan tidak akan berjaya jika agensi lain tidak faham apa fungsi asas yang dipertanggungjawabkan kepada JPN sejak 1948 dahulu.

    IRIS buat masa sekarang adalah satu-satunya pengeluar kad asas (base card) tempatan yang menepati dan mencapai standard mutu antarabangsa mengenai keselamatan transaksi kad oleh Proton World International yang membolehkan MyKad dibenarkan mengguna aplikasi MEPSCash atau tunai elektronik. Ada syarikat tempatan lain yang mengeluarkan base card tetapi tidak langsung mencapai mutu yang disyaratkan dalam pembekalan MyKad. Namun seperti yang kita juga tahu, akibat daripada ini, IRIS menjadi leka dan kawalan mutu kualiti kad juga sudah lama hilang. Akibatnya mutu MyKad sendiri secara fizikal sudah tidak lagi menepati syarat.

    Namun, mengikut arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan, base card adalah dibekalkan oleh syarikat-syarikat tempatan sahaja (mungkin atas dasar keselamatan). Ada syarikat antarabangsa yang menghasilkan kad yang jauh lebih bermutu seperti Gemplus (yang digunakan oleh kebanyakkan kad-kad bank) namun disebabkan ianya syarikat asing, maka agak sukar untuk mendapatkan kontrak dari mereka.

    Mungkin kalau ada syarikat dari Malaysia yang dapat menghasilkan base card yang jauh lebih bermutu disertakan dengan perkhidmatan yang baik dan efisien, boleh saja menawar diri kepada JPN.

    Saudara juga perlu faham mengenai perubahan teknologi. Sama dengan penulisan saudara di dalam blog ini. Ini adalah teknologi baru yang tidak kita perolehi 10 tahun yang lalu. Begitu juga MyKad dan semua kad yang bercip. Ianya baru dan mengikut trend sekarang, sistem keselamatan yang digunakan oleh kad bercip adalah jauh lebih baik dari kad plastik biasa sebelumnya. Maka sudah tentu kebanyakkan organisasi baik awam dan swasta akan melalukan migrasi kepada sistem baru yang lebih efisien dan selamat.

    Orang ramai tidak buat komplen apabila kad bank berstrip magnet ditukar kepada kad bank bercip secara wajib kerana tahu ianya berguna dan selamat. Tapi secara psikologinya mereka mahu tukar secara rela kerana ianya melibatkan duit mereka.

    Tapi MyKad cuma ada apa? Data pengenalan diri, mungkin maklumat pasport, data lesen memandu dan juga mungkin, RM10 selepas top-up Touch'N'Go. Minimal data yang langsung tidak nampak penting kerana tidak ada value secara tunai disitu. Kerajaan tidak pula kata menukar kad pengenalan lama kepada MyKad adalah wajib. Sekiranya tidak, segala urusan kehidupan tidak boleh dijalankan. Saudara tidak pernah dengar bukan?

    Yang mewajibkan kita secara tidak langsung menggunakan MyKad adalah apabila kita pergi bank dan bank suruh kita tukar kepada MyKad. Alasan peraturan kata mereka. Begitu juga di KWSP, insurans dan banyak organisasi lain. Siapa sebenarnya yang mewajibkan penggunaan MyKad? Penyedia perkhidmatan, bukan?

    Sekiranya ada sesiapa yang masih mahu guna kad pengenalan lama, silakan. Tidak ada masalah mengenainya. Mereka tetap warganegara Malaysia. Mereka tetap ada hak-hak mereka. Cuma penyedia perkhidmatan yang berkaitan dengan kehidupan mereka saja yang mungkin mahu mereka menukar kepada MyKad atas alasan peraturan. Peraturan mereka.

    Biometrik. Secara konsepnya, bukan saja merujuk kepada cap jari semata-mata. identifikasi iris mata, tepi tapak tangan, tapak kaki dan mungkin dna, ianya juga adalah biometrik. Cuma yang digunapakai oleh JPN adalah indenfikasi cap jadi. Kalau seseorang itu tidak ada ibu jari, jari seterusnya digunakan. Jari kaki juga boleh digunakan sekiranya tiada langsung jari di tangan.

    Authentikasi MyKad untuk transaksi urusniaga mesti menggunakan jari. Sekiranya saudara pernah berurusan dengan JPN dan mana-mana agensi, itulah yang dilakukannya. Melainkan touch'n'go. Perlu saudara tahu bahawa t'n'g tidak mengunakan cip utama, sebaliknya mengunakan sebuah lagi cip (RFID) yang boleh saudara lihat berbentu empat segi tertanam di bahagian bawah bendera Malaysia yang berkibar.

    Terlalu panjang ulasan saya, seorang kerani yang rasa saya perlu jelaskan apa yang saya faham walaupun mungkin ada informasi yang sebenarnya termaktub dibawah akta rahsia rasmi. Namun, harapnya saudara faham. Bukan bertujuan menyanggah penulisan saudara, tetapi memperbaiki mana yang tidak betul.

    Terima Kasih

  6. frossonice // 18 April 2008 pada 1:12 PG  

    Sauadara Famil,

    Lebih 2 juta MyKad dilaporkan hilang oleh pemegang sejak ianya dilancarkan pada tahun 1999.Boleh saudara bayangkan apa berlaku kepada MyKad yang hilang tersebut?

    Antara masalah rakyat Malaysia; CUAI + SIKAP TIDAK AMBIL PEDULI. Kemudian menyalahkan orang lain.

    Terima Kasih.

  7. Hasbullah Pit // 18 April 2008 pada 2:07 PG  

    Kerajaan tidak pula kata menukar kad pengenalan lama kepada MyKad adalah wajib. Sekiranya tidak, segala urusan kehidupan tidak boleh dijalankan. Saudara tidak pernah dengar bukan?

    Yang mewajibkan kita secara tidak langsung menggunakan MyKad adalah apabila kita pergi bank dan bank suruh kita tukar kepada MyKad. Alasan peraturan kata mereka. Begitu juga di KWSP, insurans dan banyak organisasi lain. Siapa sebenarnya yang mewajibkan penggunaan MyKad? Penyedia perkhidmatan, bukan?


    Ya
    Kerajaan Tidak mewajibkan Penukaran kepada MYKAD.
    Akan tetapi Media Kerajaan menggembar gemburkan supaya menukar mykad sebelum tarikh tertentu. Seolah-olah ianya wajib.

    Apa Erti semua ini?

    Kerajaan Tidak Mewajibkan penukaran kepada MyKad, akan tetapi tidak melarang institusi perbankkan dan insurans mewajibkan mykad ketika berurusan dengan mereka.

    Apa erti memperkatakan tentang ianya tidak wajib untuk ditukar tetapi pengguna dihimpit setiap penjuru?

  8. Hasbullah Pit // 18 April 2008 pada 2:19 PG  

    IRIS buat masa sekarang adalah satu-satunya pengeluar kad asas (base card) tempatan yang menepati dan mencapai standard mutu antarabangsa mengenai keselamatan transaksi kad oleh Proton World International yang membolehkan MyKad dibenarkan mengguna aplikasi MEPSCash atau tunai elektronik. Ada syarikat tempatan lain yang mengeluarkan base card tetapi tidak langsung mencapai mutu yang disyaratkan dalam pembekalan MyKad. Namun seperti yang kita juga tahu, akibat daripada ini, IRIS menjadi leka dan kawalan mutu kualiti kad juga sudah lama hilang. Akibatnya mutu MyKad sendiri secara fizikal sudah tidak lagi menepati syarat.


    Jika JPN hanya bergantung kepada HANYA IRIS, mengapa MyKad tetap dilaksanakan juga?

    Mengapa tidak JPN menunggu supaya adanya vendor alternatif sebelum mengimplementasikan MyKad?
    ATAU merendahkan keperluan spesifikasi supaya JPN ada hak memilih vendor.

    atau buat lah apa pun asalkan JPN mempunyai vendor alternatif.

  9. frossonice // 20 April 2008 pada 1:33 PG  

    Isu 'mewajibkan' penukaran MyKad sebelum ini adalah akibat salah tafsir media dan orang ramai. Sebenarnya, orang ramai digalakkan untuk menukar MyKad secara PERCUMA sebelum 31 Disember 2005. Selepas daripada itu penukaran MyKad akan dikenakan bayaran yang akhirnya diumumkan oleh menteri sebanyak RM10. Masih ada yang komplen. Sedangkan kos sekeping MyKad adalah jauh lebih tinggi daripada itu (saya pasti akan dipersoalkan juga nanti).

    Hak untuk agensi swasta dan organisasi mewajibkan orang ramai untuk menggunakan MyKad apabila berurusan dengan mereka adalah hak mereka sendiri. Isu paling besar adalah isu keselamatan. Bank menggunakan MyKad kerana yakin dengan keselamatan MyKad. Jikalau tidak, sudah pasti mereka tidak kisah kalau orang ramai cuma menggunakan kad pengenalan lama. Entah kenapa orang ramai masih tidak nampak kenapa dan sentiasa mempersoalkan mengapa itu dan ini.

    Perlukah kita bagi alasan kena tunggu beberapa vendor sebelum sesuatu projek boleh dilaksanakan? Tidak semua perkara boleh menggunakan open tender seperti yang kita kehendak (atas akibat mahukan ketelusan). Matawang kertas Malaysia hanya dicetak oleh syarikat De La Rue, tiada sesiapa yang mempersoalkannya. De La Rue juga adalah pembekal base card kad pengenalan lama sebelum MyKad. Tidak ada sesiapa persoal. Iris sudah mengeluarkan base card MyKad (dan beberapa kad pengenalan pintar untuk beberapa buah negera lain diseluruh dunia lagi) sejak 1999. Semasa itu mungkin tidak ada sesiapa yang mahu mempersoalkan rasional pemilihan Iris.

    Sekarang kita tahu Iris menghadapi masalah pengurusan. Adakah dengan sekelip mata kita perlu tamatkan urusan perniagaan dengan mereka tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti kawalan keselamatan, harta intelek dan teknologi? Ya, teknologi bukan murah. Bukan seringgit dua. Ratusan juta, malah bilion. Bakal ada orang yang mempersoalkan rasional kenapa bilion ringgit dilaburkan untuk MyKad dan lain-lain teknologi. Tapi kalau setakat mempersoalkan tanpa memahami konsep dan latar belakang sesuatu perkara, sesiapa saja boleh buat. Google dulu, atau wikipedia dulu informasi mengenai teknologi yang terlibat dalam MyKad, sesiapa saja akan tahu ianya tidak murah.

    Kemudian orang akan tanya, kalau sudah tahu mahal, kenapa jalankan juga? Mudah bukan menimbulkan persoalan. Tapi kalau orang yang rajin, mereka akan membuka mata dan melihat dengan lebih luas sesuatu perkara sebelum mempersoalnya. Saya begitu dahulu. Akan persoal apa saja yang dimata ini tidak nampak logiknya. Tapi apabila diajar dengan teknik pemikiran dan gaya berfikir yang lebih matang, kita akan lihat sesuatu perkara dengan lebih jelas.

    Soalan saudara agak terbuka sebenarnya. Sesiapa saja boleh jawab dengan logik akal. Tapi untuk menjawab berdasarkan fakta, mungkin agak susah. Tapi sekurang-kurangnya saya faham keadaan tanpa bos, orang atasan, kerajaan, pembangkang dan sesiapa saja menyogoknya kepada saya. Saya kaji, saya baca, saya teliti dan saya buat perbandingan. Akhirnya saya faham dan saya akan pertahankan bahawa MyKad adalah sesuatu yang baik untuk semua rakyat Malaysia.

    Kalau Amerika Syarikat, Sepanyol, Belgium, Hong Kong, Bahrain, Australia, England, Canada dan banyak lagi negara di dunia ini menjadikan MyKad sebagai benchmark kad pengenalan mereka, kenapa orang Malaysia masih mempersoalkannya?

    Maaf, perlu saya ingatkan sekali lagi, saya seorang kerani dengan ilmu sekadar SPM. Kemampuan perbahasan saya cuma setakat itu. Cuma saya agak kecewa kerana kebanyakkan rakyat Malaysia lebih suka mempersoalkan itu ini tanpa mahu berusaha untuk mendapatkan ilmu yang asas dahulu tentang sesuatu perkara yang hendak dipersoalkan. :-)

    Terima Kasih. Tiada lagi ulasan daripada saya selepas ini. Mohon maaf sekali lagi.

  10. Hasbullah Pit // 20 April 2008 pada 2:46 PG  

    saya pun SPM juga.